Benarkah Sambut Hari Ibu Haram?

Ada segelintir para asatizah kita yang mendakwa haram hukumnya untuk merayakan Hari Ibu kerana katanya ianya menyamai sambutan orang bukan beragama Islam. Ini berdasarkan hadith, mafhumnya:

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka”

[Hadits Sahih – diriwayatkan oleh Imam Abu Daud R.H dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya dan Imam as-Suyuti di dalam al-Jamie’ as-Shaghir]

Namun ada juga ulama’ yang melihat menyambut Hari Ibu itu dibenarkan dan tiada kena mengena dengan ajaran Kristian seperti Mothering Sunday atau Cybele oleh masyarakat Yunani Kuno atau sambutan Hilaria kaum Romawi kuno, bahkan di Barat sendiri Mother’s Day zaman moden ini tiada unsur agama lagi. Di Barat sambutan Hari Ibu zaman moden ini dimulakan oleh Anna Jarvis untuk merayakan ibunya pada tahun 1908. Anna seterusnya berjuang agar ianya menjadi hari tahunan bukan sahaja untuk negara Amerika bahkan seluruh dunia.

Justeru kerana itu ulama terkenal, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi misalnya tidak melihat ianya sesuatu yang Haram. Beliau berpandangan bahawa selagi tiada nas atau dalil yang mengharamkannya, maka ianya adalah mubah (harus) [Klik Di Sini].

Begitu juga mantan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang pernah dipetik berkata:

Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang. Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day.

Pandangan-pandangan yang membenarkan juga boleh dilihat pada laman web Imam Suhaib Web [Klik Di Sini] dan [Sini] Bahkan Imam Suhaib Webb menjelaskan bahawa dalam hal seumpama ini para ulama seringkali berbeza pandangan termasuk dalam isu sambutan hari al-Rajabiyah yang dirayakan sebelum kedatangan Islam. Beliau seterusnya mengungkapkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim menyebut bahawa Rasulullah SAW juga pernah membenarkan sambutan kemenangan kabilah Arab dalam Peperangan Bu’ath sepertimana Hadith yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. Peperangan tersebut adalah antara kaum ‘Aus menentang kaum Khazraj yang berlaku pada tahun 617M. Walaupun umat Islam tidak terlibat dalam peperangan tersebut, namun Rasulullah SAW menyetujui sambutan kegembiraan tersebut. Di sini jelas menjadi dalil bahawa tidak semua yang asing itu haram, bergantung kepada konteks dan suasana.

Begitu juga Dr. Zaharuddin Abdul Rahman turut melihat ianya sesuatu yang baik sebagai tanda menghargai para ibu-bapa dan tidak boleh dianggap meniru Barat. [klik di sini].

Sebenarnya banyak benda dalam hidup kita dan budaya kita yang kita tiru dan ambil dari bangsa lain, namun kerana ianya tiada unsur-unsur agama dan baik dari segi semangatnya selari dengan ajaran dan tuntutan Islam, ianya boleh diamalkan. Samalah seperti sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Pekerja, Hari Jururawat, Hari Belia, Hari Jadi (Birthday), Hari Ulangtahun Perkahwinan dan 1001 macam hari lagi yang disambut di seluruh dunia yang jika ianya baik dan tiada unsur-unsur agama asing / syirik/ khurafat maka ianya tiada halangan untuk diamalkan.

Untuk kita dihukum meniru dalam hal begini bukanlah termasuk dalam hadith “tasyabbuh” atau meniru yang diharamkan oleh Islam walaupun mungkin asalnya dari bangsa asing. Beliau teringat ketika belajar dulu pernah rakannya menanya sheiknya apakah hukum memakai pakaian berjenama “Nike” kerana Nike itu sebenarnya dari segi etimologi berasal dari Yunani kuno yang membawa maksud “Tuhan / Dewi Kejayaan” (Goddess of Victory and Triumph). Sheikh tersebut menjawab, masih adakah hari ini orang yang menggunakan produk berjenama berkenaan beritiqad untuk memuja atau mengangungkan “Tuhan / Dewi Kejayaan” tersebut? Rasanya tidak, bahkan mungkin tiada orang pun yang peduli tentang asal usul berkenaan, jadi di mana salahnya?

Di musim Sukan Olimpik yang tidak berapa lama lagi mungkin ramai yang tidak mengetahui asal usul Sukan Olimpik yang dipertandingkan setiap empat tahun sekali itu. Kalau dikaji sejarah kunonya, ianya bermula dengan kepercayaan masyarakat Yunani kuno terhadap mitologi kononnya Dewa Heracles yang merupakan anak kepada Dewa Zeus yang mengasaskannya dan Heraclas lah yang mula-mula memperkenalkan kalimah “Olympic” itu. Itulah kepercayaan kuno dulu, tetapi adakah mereka yang menyertai Sukan Olimpik moden hari ini masih berpegang kepada kepercayaan kuno tersebut, termasuk kontinjen negara umat Islam seperti Malaysia, misalnya?

Kalaulah diambil kaedah asal usul ini tanpa mengambikira perkembangan semasa yang berubah dan sudah pun tiada kena mengena dengan asal tersebut, maka memakai apa jua jenama produk Nike itu juga haram kerana ianya berasal dari kepercayaan agama Yunani kuno dan begitu jugalah perkara-perkara lain yang asing yang banyak akan jatuh haram.

Begitu juga dalam kehidupan seharian kita yang banyak budaya asing yang bukan berasal dari budaya Islam tetapi budaya luar yang dibawa masuk seperti contohnya memakai tali leher (necktie). Ada yang mengaitkannya kononnya pakaian golongan Kristian ketika Perang Salib, yang cerita tersebut samada benar atau tidak masih belum dapat dipastikan. Namun hari ini, memakai tali leher telah diterima majoriti ulama’ sebagai sesuatu yang tidak haram dan tiada unsur agama Kristian. Para shuyukh dan masyaikh dari Barat ramai yang memakai tali leher. Begitu juga perkara-perkara lain yang berasal dari Barat yang kita umat Islam turut menerimanya hari ini seperti memakai baju kot, makan menggunakan sudu garpu dll yang tidak termasuk dalam “meniru kaum lain” yang diharamkan Islam. wa-Llahu’alam.

Pemberitaan Yang Benar

Kematian Noramfaizul Mohd. Nor, Wartawan  BERNAMA baru-baru ini merupakan suatu kehilangan besar di kalangan pengamal media di negara kita ini. Namun, itulah sebahagian dari kehidupan petugas media yang seringkali berhadapan dengan risiko sebegitu apabila cuba mendapatkan berita dengan turun ke lapangan. Ramai di kalangan wartawan media-media besar dunia yang meninggal dunia sebelum ini khususnya apabila membuat liputan di kawasan-kawasan peperangan dan konflik.

Kita percaya pemergian beliau itu tidak sia-sia andainya beliau bekerja dengan penuh keikhlasan untuk mendapatkan maklumat dan berita yang benar tentang apa yang terjadi di Somalia untuk dimaklumkan kepada masyarakat umum di Malaysia. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Industri pemberitaan dunia hari sudah sekian lama tersasar dari kebenaran apabila ianya dimonopoli oleh kuasa-kuasa besar yang kebanyakkannya dimiliki oleh tokoh-tokoh Yahudi.  Lihat saja siapa di belakang CNN, CNBC, FOX, REUTERS, BBC dan lain-lain yang samada secara langsung atau tidak langsung ianya pasti ada kaitan dengan rejim Zionis.

Apabila Yahudi yang menguasai media, maka sudah pasti berita yang diterima oleh masyarakat hanya yang baik-baik belaka berhubung rejim tersebut dan itulah yang berlaku hari ini apabila segala penderitaan, kesengasaraan warga Palestin dan kekejaman Israel langsung tidak dihebahkan kepada masyarakat antarabangsa. Begitu juga kesengsaraan umat Islam di Somalia, Kenya, Sudan dan lain-lain. Yang dilapurkan hanyalah berita yang ingin didengar oleh pemilik-pemilik saham syarikat berkenaan.

Hari ini, ianya sudah menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk menjadi pembekal berita yang sebenar tanpa perlu bergantung lagi kepada sumber-sumber asing ini. Peranan yang dimainkan oleh al-Jazeera ketika peristiwa 11 September dan Perang Amerika-Iraq pada tahun 2003 suatu ketika dulu telah memberi pukulan teruk kepada media-media asing yang berpengaruh itu. Ia sepatutnya turut dicontohi oleh agensi-agensi media tempatan di negara kita ini untuk menjadi pembekal berita setanding seperti al-Jazeera dan media-media besar lain. Sampai bilakah umat Islam harus bergantung sumber berita dari media-media besar bukan Islam ini?

Masyarakat Islam hari ini mendambakan berita yang benar dan siapakah yang diharapkan akan berpegang teguh kepada kebenaran melainkan berita dari orang Islam sendiri. Mana-mana wartawan yang berjuang dengan ikhlas mencari berita yang benar dan menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat sebenarnya menjalankan tugas yang murni di sisi Islam. Itulah etika kewartawanan Islami yang semakin tidak dihayati oleh sebahagian pengamal media hari ini, bahkan di kalangan pengamal media beragama Islam sendiri. Selama mana kita tidak berpegang kepada etika kewartawanan Islami, selama itulah kita tidak akan mampu pergi jauh dan menjadi sumber berita yang mempunyai kredibiliti dan diterima ramai.

Kalau diperhatikan  kebanyakan berita yang disiarkan hari ini bukan lagi berdasarkan fakta yang sebenar tetapi sejauh mana sesuatu berita itu boleh melariskan jualan. Akhbar nombor satu tahanair bukan kerana akhbar tersebut dari arus perdana yang mampu mendidik masyarakat, membina jati diri bangsa dan menyajikan berita-berita benar tetapi kerana ianya sarat dengan berita-berita sensasi, gossip dan ada ketikanya separa lucah, walaupun hanya sekadar tabloid nyamuk. Ramai yang mula merasakan membaca akhbar-akhbar hari ini lebih banyak membuang masa dari mengikuti perkembangan semasa yang disajikan dengan penuh fakta kebenaran.

Itu belum bercakap tentang media yang dijadikan sebagai ejen propaganda sehingga begitu meloyakan dan menjengkelkan sesiapa yang membacanya. Lalu segala perasa dan perisa ditambah dalam berita sehingga kebenaran itu hanya tinggal beberapa peratus sahaja manakala 90 % lagi adalah tokok-tambah dan kepalsuan belaka. Ada juga berita yang disediakan oleh wartawan yang turun di lapangan sudah sebenarnya menggambarkan cerita sebenar yang berlaku, tetapi ditapis oleh penyunting dan ketua pengarang menjadikan berita tersebut berat sebelah atau laporan terpilih (selective reporting)  dan menguntungkan pihak-pihak tertentu dan menzalimi pihak lain. Ini jauh sekali tersasar dari etika kewartawatan Islami. Apabila kita melanggari etika kewartawanan Islami, maka usah diharapkan media tersebut akan mampu menjadi sumber pembekal berita yang ampuh, berkredibiliti dan dipercayai ramai.

Islam begitu mementingkan kebenaran bukan sahaja dalam laporan pemberitaan bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita. Sebab itulah salah satu sifat wajib Baginda SAW ialah “al-Siddiq” yang membawa maksud benar dalam tutur kata dan tingkahlaku. Begitu juga salah satu Asma ul-Husna ialah “al-Haq” yang membawa maksud benar. Walaupun di sana ada sedikit perbezaan dari segi makna al-Haq dan al-Siddiq, namun itu bukanlah isunya di sini. Yang pentingnya ialah “kebenaran” itu merupakan isu pokok dalam ajaran Islam sehingga Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW wajib bersifat dengan sifat benar dalam pertuturan, tingkahlaku dan akhlaq  Baginda. Bahkan Islam menggesa agar bercakap benar walaupun pahit (mafhum hadith dari Imam Ahmad), walaupun kebenaran itu ada ketikanya kena batang tubuh kita sendiri yang menuturkannya. Berapa ramai para Sahabat dan Salafussoleh yang apabila ditegur mengakui kesilapannya kerana kuatnya mereka berpegang kepada prinsip kebenaran. Umar al-Khattab misalnya pernah mengatakan “Ya perempuan itu benar, dan Umar salah”.  Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jabir, Baginda SAW menyebut yang mafhumnya “Tiada sedekah yang lebih dicintai Allah dari bercakap benar” (Bayhaqi).

Namum, ada ketikanya kita tidak dapat lari dari menerima berita-berita yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.  Lantas, Allah SWT berpesan agar setiap berita yang diterima disiasat terlebih dahulu kebenarannya, khususnya berita yang dibawa oleh golongan-golongan yang berdosa seperti golongan fasiq yang suka berdusta, (Surah Al-Hujurat 49:6). Ini kerana mudaratnya amat besar terhadap diri dan masyarakat apabila berita yang dibawa itu merupakan suatu pembohongan dan kepalsuan, namun disangka suatu kebenaran.

Sungguh mendukacitakan kita semua setelah lebih 54 tahun merdeka, media hari ini bukan sahaja gagal untuk menjadi ejen menyediakan maklumat berita yang benar dan berkredibiliti tanpa berpihak kepada mana-mana melainkan kebenaran,  jauh sekali untuk diharapkan menjadi ejen mendidik bangsa dan membina jati diri umat. Yang ada hari ini ialah media yang saling menabur fitnah, yang satu memfitnah pihak yang satu lagi bergantung kepada siapakah empunya media tersebut. Sampai bilakah umat Islam harus begini?

[ Sebahagian dari tulisan ini pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 20 Sept 2011 dengan tajuk Hayati Etika Kewartawanan Islami, sampaikan berita benar, adil]

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.